Tentang Kami

PENGENALAN PERSATUAN WARIS DATO’ SAGOR PERAK

Persatuan Waris Dato’ Sagor Perak ditubuhkan bagi menghimpunkan dan memelihara legasi Allahyarham Ngah Kamdin atau lebih dikenali sebagai Dato’ Sagor. Dato’ Sagor merupakan seseorang yang dikenali sebagai pahlawan Melayu serta Orang Besar Delapan Perak. Persatuan ini telah ditubuhkan dan didaftarkan pada 16 Januari 2026. Pada 2 November 2025, satu perjumpaan telah diadakan di Pasir Salak dan berjaya menghimpunkan lebih 500 waris dari seluruh Malaysia. Perjumpaan tersebut diketuai oleh Dato’ Abu Hasan Asha’ari bin Alang Jaman sebagai Pengerusi Persatuan dan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ramli bin Ngah Talib iaitu Yang Di-Pertua Negeri Pulau pinang iaitu merupakan salah seorang waris kepada Dato’ Sagor.

Persatuan ini diwujudkan bagi menjejaki lebih 3,000 waris Dato’ Sagor sama ada di dalam mahupun di luar negara. Selain itu, persatuan ini juga akan bertindak sebagai saluran rasmi bagi menyalurkan bantuan, khususnya kepada ahli keluarga yang memerlukan. Seterusnya, persatuan ini akan menganjurkan pelbagai majlis ilmu yang berkaitan dengan ketokohan Dato’ Sagor supaya dapat mengeratkan lagi ukhwah antara satu sama lain. Akhirnya, penubuhan Persatuan Waris Dato’ Sagor Perak ini akan menjadi satu simbol perpaduan dan memastikan kesinambungan legasi Dato’ Sagor terus dikenang.

LATAR BELAKANG DATO’ SAGOR

Ngah Kamdin atau lebih dikenali sebagai Dato’ Sagor ialah salah seorang daripada Orang Besar Delapan Perak yang membawa kepada gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar DiRaja. Beliau dilahirkan di Kampong Gajah, Perak dan merupakan bapa saudara kepada Menteri Ngah Ibrahim. Beliau bersama-sama Ngah Ibrahim berhijrah ke Larut untuk mengusahan perlombongan bijih timah. Gelaran Dato’ Sagor yang diterima oleh Ngah Kamdin dikurniakan oleh Sultan Perak yang ke-23 iaitu Sultan Jaafar. Dato’ Sagor memerintah wilayah tebing Sungai Perak dari Kampong Gajah sehingga Pulau Tiga. Dato’ Sagor tergolong dalam hulu balang Negeri Perak.

Pada 10 Januari 1874, Dato’ Sagor bersama-sama Sultan Perak, Pembesar-Pembesar Perak dan pihak British telah menandatangani Perjanjian Pangkor. Pada 21 Julai 1875, satu mesyuarat telah diadakan di Durian Sebatang dalam mencapai kata sepakat untuk membunuh J.W.W. Birch iaitu Residen British Perak apabila tiba di Pasir Salak. Seterusnya, J.W.W. Birch telah dibunuh dalam misi yang diketuai oleh Dato’ Sagor dan Dato’ Maharaja Lela ketika sedang mandi di Sungai Perak berdekatan Pasir Salak pada tahun 1875. Akhirnya, Dato’ Sagor, Dato’ Maharaja Lela dan Pak Endut dihukum dan digantung sampai mati pada 20 Januari 1877.